Khamis, 18 Jun 2009

MASJID BERASASKAN TAQWA KEPADA ALLAH



Assalamualaikum
Setiap jawatankuasa masjid perlu sedar bahawa, apabila jawatan diberikan kepada seseorang khususnya berkaitan dengan masjid, maka perlu diingati bahawa masjid adalah juga dikenali dengan rumah Allah, setiap ajk mesti ingat bahawa mereka menjadi ajk rumah Allah. Maka berwaspadalah agar tuntutan jawatan atau tanggungjawab terhadap jawatan itu amatlah besar dan penting. Firman Allah Ta'ala dalam surah An Nisa' ayat 58:
إن الله يأمرُكم أن تؤدوا الأماناتِ إلى إهلهاوإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إن الله كان سميعا بصيرا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Setiap jawatan juga bermaksud amanah yang diberikan Allah, bukannya jawatan ini bertujuan untuk bersuka-suka, ataupun bukannya untuk dijadikan sebagai cara mendapatkan nama atau kebendaan, tetapi merupakan suatu tanggungjawab yang akan di pertanggungjawabkan oleh Allah di padang mahsyar nanti.
Masjid adalah instusi yang mesti diasaskan dengan ketaqwaan, sebagaimana Masjid Quba' yang telah dipuji oleh Allah dalam ayat 108 surah At-Taubah:
لمسجدٌ أُسِّسَ على التقوى من أولِ يومٍ أحقُّ أن تقومَ فيه فيه رجال يحبون أن يتظهروا واللهُ يحب المطهرين
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
Bagi menjadikan sesuatu masjid itu berasaskan taqwa, maka setiap ahli jawatankuasanya harus turut bertaqwa, kerana tidak mungkin masjid akan diasaskan dengan taqwa jika ajknya tidak bertaqwa. Setiap pengurusan masjid mesti berusaha menjadikan setiap jemaah yang hadir turut sama bertaqwa. Untuk tujuan tersebut, maka seluruh program yang dilaksanakan mestilah berorientasikan taqwa. Inilah yang telah dilakukan oleh baginda sollahu 'alaihi wasallam di Masjid Quba dan masjid Nabawi.
Mudah mudahan masjid Bukit Indah akan diasaskan dengan ketaqwaan kepada Allah, bukannya diasaskan oleh kepentingan diri, dan bukan juga di asaskan oleh kepentingan pangkat dan jawatan.
Semoga Allah merahmati kita, serta memberikan pertolongan kepada ajk baru yang dilantik untuk memenuhi asas taqwa yang dianjurkan dalam ayat tadi. Sekian terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan