Rabu, 25 November 2009

Puasa Sunat Perdana 9 Zulhijjah

Assalamualaikum, kepada semua ahli kariah Masjid Bukit Indah
Insya' Allah esok bersamaan hari khamis 26hb November 2009 adalah merupakan hari di mana semua jemaah Haji akan melaksanakan rukun Haji yang paling penting iaitu Wukuf di padang Arafah. Daripada Jabir telah berkata : telah bersabda Rasulullah S.A.W yang artinya :
"Apabila tiba hari Arafah maka sesungguhnya Allah telah memuji dengan mereka para malaikat maka kataNya : lihatlah kepada hamba-hambaKu yang telah datang padaKu dengan berdebu dalam keadaan berduyun-duyun daripada setiap pelusuk, Aku bersaksi depan kamu(malaikat) bahawa Aku telah mengampuni mereka. Maka kata malaikat : Sesungguhnya ada di kalangan mereka pulan telah baligh dan pulan.Sabda baginda lagi : Allah berfirman: sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka. Sabda Rasulullah S.A.W : maka tiada daripada hari lebih ramai orang yang bebas daripada neraka daripada hari Arafah"
(Hadis isnadnya sohih dikeluarkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)
Para jemaah haji akan melakukan ibadah sampingan seperti solat sunat, berzikir ketika berada di padang Arafah. Tetapi apakah pula yang perlu dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkesempatan ke Mekah mengerjakan haji ini? Maka, jawapannya ialah berpuasa sunat pada 9 zulhijjah, sebagaimana hadis Rasulullah :
Daripada Hunaidah bin Khalid RA, daripada isterinya, daripada sebahagian isteri-isteri Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam berkata: ‘Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam berpuasa pada hari kesembilan Zulhijjah, pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.’ (H.R Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei). Kata Imam An-Nawawi : Berpuasa pada hari-hari sepuluh Zulhijjah adalah sunat yang sangat digalakkan
Oleh itu teman-teman sekelian, marilah sama-sama kita hidupkan sunnah Rasulullah ini, agar ia menjadi suatu amalan yang menjadi budaya kepada ahli kariah Masjid Bukit Indah Insya Allah.....
SELAMAT BERPUASA SUNAT....JAMUAN BUKA PUASA DISEDIAKAN.
Saudaramu Dalam Islam : Us Shukri Harun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan