Sabtu, 25 Julai 2009

Assalamualaikum
Kepada rakan-rakan yang inginkan hadis yang saya nyatakan dalam shout mix, saya berikan untuk rujukan. Saya tidak akan membawa sesiapapun ke lembah kebinasaan dengan berhujjah dengan hadis yang dhaif, melainkan kalau sekadar menyatakan kelebihan atau hikmah.
Hadis dipetik dari Fathul Bari, Karangan ibnu Hajar Asqolani : وَبِهَذَا الْإِسْنَادِ ‏ ‏مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعْ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي وَإِنَّمَا الْإِمَامُ ‏ ‏جُنَّةٌ ‏ ‏يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ وَعَدَلَ فَإِنَّ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرًا وَإِنْ قَالَ بِغَيْرِهِ فَإِنَّ عَلَيْهِ مِنْهُ ‏
(Maksud : Sesiapa yang mentaatiku sesungguhnya ia taatkan Allah, sesiapa yang taat kan amir (ketua) sesungguhnya dia mentaatiku, sesiapa yang derhakakan amir (ketua) sesungguhnya menderhakaiku, sesungguhnya pemimpian itu perisai......
Sama-sama kita mempelajari hadis dan ilmu hadis, supaya lebih mantap ilmu dan seterusnya amalannya.

Khamis, 23 Julai 2009

Program Isra' & Mi'raj



Salam sejahtera buat semua ahli kariah Masjid Bukit Indah.....
Malam esok 24 Julai 2009, selepas maghrib jangan lupa Forum Isra' & Mi'raj bertajuk "Teladan Sepanjang Zaman dari Isra' wal mi'raj".
Ahli panel ialah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saiful Islam) dan Ustaz Zamri Zainal Abidin (Mari Mengaji). Pada asalnya ialah Ust Zahazan, tetapi Ust Zahazan tidak dapat datang. Alhamdulillah dapat cari ganti dengan pertolongan Ust Zahazan yang tidak kurang terkenalnya, iaitu Us Zamri.
Sila datang beramai-ramai untuk majlis ilmu ini. "Sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang-orang beriman dari kalangan kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat".

Rabu, 22 Julai 2009

Mengenai Bacaan Al-Quran

Salam sejahtera buatsemua ahli kariah Bukit Indah
Firman Allah :
أفلا يتدبرون القرآن أم على قلوب أقفالُها
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? Surah Muhammad ayat 24
Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap pembaca al-Quran mestilah memahami isi kandungan al-Quran, bukan sekadar membacanya. Mestilah mengetahui makna-makna dan apa yang dikehendaki oleh Allah dalam ayat-ayatNya. Ia melibatkan hukum hakam yang melibatkan 500 ayat lebih. Juga melibatkan kisah-kisah yang menjadi contoh-contoh kepada manusia. Kisah-kisah yang berasaskan tauhid dan akhlak yang terpuji.
كتابٌ أنزلنا إليك مبارك ليدبروا آياته وليذكر أولوا الألباب29]
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar - سورة ص
Berdasarkan 2 ayat tadi, dapatlah difahami bahawa setiap pembaca al-Quran mestilah juga mengetahui akan maksud serta isi kandungan ayat, bukan sekadar membaca ayat-ayatnya dan membetulkan tajwidnya semata-mata, malah perlu mengetahui apa yang dikehendaki oleh ayat-ayat yang dibacanya. Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam :
مَنْ جعلَ القرآنَ أمامَهُ قادَهُ إلى الجنةِ ومن جعلَهُ وراءَ ظَهرِهِ ساقَهُ إلى النار
(Sesiapa yang meenjadi al-Quran itu sebagai pemimpinnya nescaya ia akan memimpinnya ke syurga, sesiapa yang menjadikan al-Quran dibelakangnya nescaya ia akan memimpin ke neraka - rujukan dalam kitab wasiat agama dan nasihat Imam dalam bab Al Quran, kebanyakan hadis dalam kitab ini dinaqalkan dari kitab bahrul mazi)
Mudah-mudahan setiap guru yang mengajar al Quran dan juga pelajar-pelajarnya mempelajari al-Quran dengan memahami kehendak-kehendak ayat, jangan sampai nanti apa yang dibaca, mengenai kepala pembacanya sendiri, sedangkan pembaca tidak mengetahui al Quran sedang melaknatnya, sebab kerana pembacanya tidak mengetahui makna dan kehendak ayat.

Jumaat, 17 Julai 2009

Lujnah Masjid Bukit Indah

Assalamualaikum
Kepada semua ahli kariah, untuk makluman semua senarai lujnah-lujnah adalah seperti berikut :
1. Pengurusan & Pembangunan Masjid
Dato' Haji Mohamed Nazir bin Hj Meraslam - Ketua
2. Dakwah & Tarbiah
Ust Shukri bin Mohamed @ Harun - Ketua
3. Kemasyarakatan
Tuan Haji Ghazali bin Omar - Ketua
4. Ekonomi
Tuan Haji Wan Md Suhaimi bin Wan Sulaiman - Ketua
5. Sambutan, Keraian & Tugas-tugas Khas
Tuan Haji Ghani bin Sulaiman - Ketua
6. Pemuda
Saudara Muhammad Anas bin Haji Malek - Ketua
7. Nisa'
Puan Rofiah bt Zainal Abidin - Ketua
8. Keselamatan
Tuan Haji Mohd Anuar Md Yusof - Ketua
Insya' Allah pada hari Ahad dari jam 7.00 pagi hingga zohor akan di adakan satu brain storming di Masjid, program ini akan memperlihatkan betapa aktifnya lajnah-lajnah dalam membentang program lajnah serta perlaksanaannya. Semoga semua ajk diredhai Allah dan diberi bimbinganNya Insya ALLAH. Selamat berprogram.

Khamis, 16 Julai 2009

Bacaan Yassin & Tahlil


Assalamualaikum
Buat makluman semua ahli kariah Bukit Indah, terutama yang amat iltizam dengan bacaan yassin dan tahlil setiap malam jumaat. Satu pembaharuan cuba dibuat untuk meningkatkan ilmu dan penguasaannya. Maka pihak pegawai masjid telah bersetuju untuk mengadakan satu kuliah Tafsir Surah Yasin, masanya ialah pada salah satu khamis malam jumaat, pada permulaannya khamis ke 2, tetapi berkemungkinan ditukar ke khamis pertama. Insya Allah akan dimulakan pada bulan Ogos ini.
Kitab tafsir surah Yassin akan disediakan oleh pihak Masjid, namun begitu seandainya ada mana-mana pihak yang ingin beramal, maka pihak masjid menawarkan pakej pembelian buku "tafsir surah yassin & Sains" dengan harga lebih kurang RM10.00 sahaja. Pembelian ini akan melibatkan sejumlah 30 buah buku. Penyumbang boleh menyumbang sebuah atau lebih. Kaedah ini boleh menjimatkan belanja serta meratakan penglibatan ahli kariah dalam aktiviti masjid.
Ahli kariah yang ingin menyumbang sila berhubung dengan pihak pejabat masjid, jumpa kerani kita Saudara Zakaria dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Selasa, 14 Julai 2009

PA System Masjid


Pihak ajk telah menerima beberapa aduan mengenai sistem siaraya masjid. Untuk makluman semua ahli kariah, pada hari ahad yang lalu (10/7) kita memanggil sahabat kita yang pakar dalam siaraya ini. Hasilnya beliau telah berjaya mengatasi masalah bergaung dan bergema apabila siaraya digunakan.
Walaubagaimanapun, pemasangan secara kekal akan dilakukan beberapa waktu lagi. Banyak juga peruntukkan yang diperlukan, lebih kurang dalam RM20,000.00.
Oleh kerana memandangkan bajet ini besar juga, maka pihak ajk ingin menawarkan kepada ahli kariah yang mempunyai kelapangan harta untuk menyumbang bagi menampung pengubah suaian siaraya ini. Semoga Allah memberikan tambahan harta kepada sesiapa yang menderma.
Wajazakumullah khairan jaza'.

Kuliah Bulan Julai 2009

15 Julai 09 - Kuliah Maghrib
Ustaz Termizi Zakaria - Ustaz baru di MBI.
16 Julai 09 - Maghrib
Dikekalkan bacaan Yassin & Tahlil
17 Julai 09 - Kuliah Maghrib
Ustaz Idris Ahmad - Ustaz Baru di MBI
18 Julai 09 - Kuliah Maghrib
Ustaz Nizamuddin bin Zakarian - Ust lama yang dikekalkan.
**** Jangan lupa Forum Isra' & Mi'raj pada 24/7/09 oleh Us Hasrizal (Saifulislam.com) & Us Zahazan (Telaga Biru)

Isnin, 13 Julai 2009


Assalamualaikum
Insya Allah jumaat ini 17 Julai 09, Khatib jumaat kita ialah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau juga akan menyampaikan kuliah pendek sebelum jumaat. Agak lama juga saya cuba dapatkan tarikh dari Nazaruddin Pa Dato' tuan, alhamdulillah kali ini dapat. Dato' tuan merupakan tokoh yang tidak asing lagi di kalangan rakyat malaysia, kerana beliaulah antara ahli panel yang selalu dijemput dalam Program EHwal Islam dulu di RTM 1. Beliau adalah mantan pensyarah kanan UiTM Jengka.
Mempunyai keistimewaan ucapan yang lembut dan berkesan kepada hati. Perwatakan lembut dan seringkali senyum, mudah menolong orang pada bila-bila masa.
Semoga tiada apa halangan Insya Allah pada hari tersebut. Semua dijemput hadir untuk mendapatkan ilmu.

Jumaat, 10 Julai 2009

Program Ramadhan 1430 Hijriah

Kepada semua ahli kariah Bukit Indah
Sempena bulan Ramadhan tahun ini, terdapat beberapa perubahan dan pembaharuan yang akan dibuat oleh ajk Masjid, antaranya ialah :
1. SOLAT TERAWIH
Berdasarkan perbincangan dengan Pegawai-pegawai Masjid, solat terawih 8 dan 3 witir akan diperkenalkan di Masjid Bukit Indah sepanjang bulan ramadhan tahun ini.
Rasional :
a. Kajian dari tahun-tahun lepas, apabila imam masuk rakaat ke 9, maka 1 setengah saf sahaja yang tinggal.
b. Berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat nazir-nazir gombak bersama dengan Kodi Tuan Haji Daim, maka pihak Jais tidak mempunyai apa-apa halangan memberikan kebebasan kepada ajk masjid menentukan. Begitu juga tazkirah untuk bulan ramadhan, juga diserahkan kepada ajk masjid menentukan.
c. Majlis ilmu adalah salah satu kelebihan bulan ramadhan. Juga bulan ramadhan jemaah lebih ramai, maka tazkirah ramadhan akan diisi bagi menggantikan baki solat yang dikurangkan "Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam :"menuntut ilmu adalah wajib/fardhu ain bagi setiap muslim".
d. Solat akan lebih tenang dan perlahan, serta imam dan makmum akan dapat menghayati ayat-ayat Quran yang dibaca oleh imam bertugas.
2. TAZKIRAH RAMADHAN WAKTU SUBUH
Tazkirah Qosirah (Pendek) akan diperkenalkan yang memakan masa sekitar 5 hingga 10 minit akan dibuat oleh imam bertugas setiap hari di bulan Ramadhan. Sukatannya akan dibuat, agar masa tidak melebihi dari apa yang dihadkan.
Semoga dua perubahan ini akan dilalui oleh jemaah dengan penuh rasa ukhuwwah dan rasa perhambaan diri kepada ALlah.

Rabu, 8 Julai 2009

PROGRAM ISRA' & MI'RAJ



Salam buat semua ahli qaryah Bukit Indah.
Insya' Allah satu Forum sempena Isra' & Mi'raj akan diadakan pada tarikh 24 Julai 2009, Hari Jumaat malam sabtu, selepas maghrib. Penceramahnya ialah Dr Zahazan (Pensyarah UIA - Pakar motivasi, pencermah IKIM) & Dr Hasrizal (pakar motivasi, mantan Imam Masjid Dublin). Semua dijemput hadir.

Ambillah peringatan

Alhamdulillah, berdasarkan shout mix banyak sahabat2 dan ahli qaryah yang ambil bahagian dalam memberi pandangan, walaupun ada yang membina dan tidak kurang pula yang memeng melepaskan geram. Mungkin inipun satu kebaikan kerana ajk akan tahu kedudukan kerja-kerja mereka sejak dilantik pada 1 jun.
Dalam ghairah memberi pandangan yang melayak seseorang, ingatlah saudaraku sekelian Allah menghitung dan mengira apa yang kita tulis, juga apa yang kita tuturkan. Ada yang menggunakan nama samaran untuk tujuan menghentam dan mengata, tidak mampu dan terlalu lemah untuk datang ke pejabat untuk menegur secara langsung. Jiwa begini adalah jiwa yang lemah, jiwa yang boleh menerima semua teguran adalah jiwa yang kuat serta berani.
Rasulullah mengatakan bahawa "...sambil baginda memegang lidah baginda, cukuplah apa yang dilakukan oleh lidah ini membinasakan semua amalan kamu!"
Cubalah gambarkan disebabkan lidah kita, semua solat, zakat, puasa dan lain-lain ditolak oleh Allah sebagaimana dalam hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Imam Termizi, dek kerana lidah dan lisan yang mengata dan mengumpat yang tidak benar, dan dengan tujuan memuaskan hawa nafsu masing-masing.
semoga Allah memberi kekuatan kepada sesiapa yang menolong agama Allah dan memberikan keinsafan dan kesedaran kepada sesiapa yang sentiasa melihat menerusi sudut masalah. Allahu Akbar, walillahilham.

Isnin, 6 Julai 2009

Kuliah & Ceramah Masjid Bukit Indah

Julai 2009
Bermula 10 Julai ini, semua majlis kuliah dan ceramah akan ditangguhkan untuk urusan kemaskini. Walau bagaimanapun ada beberapa ustaz yang tidak ditangguhkan seperti ustaz Shamsul. Untuk mengisi kekosongan selama tempoh kemas kini ini, kita akan bawa ustaz-ustaz yang tidak tetap, seperti Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Ridhuan Md Nor dan Ustaz Fadhli Ismail (Akan dimaklumkan dari masa ke semasa)
Untuk makluman semua ahli karyah, ustaz2 lama akan cuba dikekalkan Insya' Allah. Kita akan cuba berikan majlis ilmu yang berkesan kepada ahli karyah.
Jangan lupa program Isra' & Mi'raj pada 24 Julai ini oleh Us Zahazan & Us Hasrizal.

Aktiviti Luar & Dalam Masjid Bukit Indah

1) Satu mesyuarat nazir-nazir daerah gombak kali I akan diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah, Gombak, Taman Keramat, bermula jam 9.30 pagi pada hari Selasa 7 Julai 2009.
2) Taklimat program Musabaqah hadis di mdi dari jam 9.30 mlm, pada 6 julai 09.
3) Mesyuarat Lajnah Pemuda mdi di blk mesyuarat mdi, dari jam 9.30 mlam pd 6 julai.

Cadangan Untuk Kelancaran Masjid Kita

Assalamualaikum
Buat semua rakan-rakan ahli kariah Bukit Indah dan sekitarnya, saya berharap agar semua yang sudi, sudi-sudilah kiranya memberi cadangan atau teguran di atas pengurusan Masjid Bukit Indah. Seorang ahli kariah kita yang menggunakan nama samaran "ma'mun subuh" telah memberikan beberapa cadangan, saya rasa cadangan ini amat baik dan boleh dilaksanakan, malah ada dua atau tiga daripadanya sedang diusahakan. Cadangan beliau ialah :
1. Mengadakan kuliah penden sebelum solat jumaat;
2. Menyuruh mak'mum berada hampir dengan pemberi kuliah, rapat dengan meja pengkuliah.
3. Kaji balik imbuhan dan elaun yang diberikan kepada petugas masjid (telah dilaksanakan pada bulan elaun/imbuhan bulan jun baru-baru ini)
4. Mengadakan program/aktiviti yang boleh mengeratkan tali silaturrahim antara ahli kariah.
5. Mengadakan kursus dan seminar berkenaan Kfahaman Islam terbuka kepada semua ahli kariah. Cth: kursus sehari mengurus jenazah, kursus qiraatul quran futsal, bola tampar. ini bagi mendekatkan masyarat dgn Masjid
6. Mengadakan majlis seperti berkhatan beramai2, solat hajat utk peperiksaan, kem motivasi pelajar, sambutan maal hijrah, maulidurrasul, korban seminar kepenggunaan Islam, Kewangan Islam, pengurusan kewangan peribadi, kursus memasak, membuat kek dll. Terbuka kpd umum juga sekitar ampang1, Sukan: Bola tampar, bola sepak, badminton, bowling, bola jaring dll. Mungkin tapak parking masjid blh dibuat gelanggangnya.
7. Mengadakan stiker cthnye "I love Masjid Bukit Indah", apa2 yang dpt menyatukan hati kita. lekat di kereta, mudah2an lekat di hati.
8. Adakan Buletin Masjid Bkt Indah. Sbgai pelengkap kpd blog ini. Juga dpt generate pendapatan masjid dgn ruangan iklan. Edaran utk 2 minggu sekali.
9. Mengubah kedudukan penceramah dgn meletakkannya di tengah masjid, bukan di saf imam spt sekarang. Rasionalnya, mengubah citarasa.
10. Menggalakkan penceramah/ khutbah dengan menggunakan slide (LCD) powerpoint.
11. Memanfaatkan pemidang iklan di pagar masjid bagi mempromosi aktiviti masjid dan pengiklanan produk2 muslim (juga sebagai sumber pendapatan masjid)
12. Mengadakan gotong royong membersihkan masjid/ gotong royong amal masjid di sekitar Bukit Indah bagi merapatkan warga kariah di samping berdakwah dan menonjolkan kesatuan umat Islam di mata non-Muslim.
Inilah 12 cadangan yang dinyatakan dalam shout mix oleh sahabat ahli kariah kita yang berwawasan serta mempunyai pemikiran yang positif, terima kasih banyak-banyak, saya kira ramai ajk kita yang sedang dan akan melihat seluruh cadangan ini. Kita akan bincang dalam meeting terdekat ini insya Allah.

Jumaat, 3 Julai 2009

Program-program di Masjid

Assalamualaikum
Untuk makluman semua ahli qaryah, di nyatakan beberapa aktiviti yang berlaku di Masjid kita sehari dua ini :
1. 1 Julai 09 Mesyuarat ahli jawatankuasa Masjid dari 8.00 malam hingga 12.00 malam.
2. 2 Julai 09 Mesyuarat petugas-petugas masjid.
3. 4 Julai 09 Nazir di jempat dalam seminar zakat di Masjid al Khairiah, Gombak
4. 5 Julai 09 Mesyuarat pengisytiharan ajk kecil Lajnah nisa' Masjid.
5. 10 Julai 09 - Khatib jemputan ialah Ust Nik Zawawi Nik Salleh dari Besut, Terengganu.
6. 14 Julai 09 Konvensyen rumahtangga di Jais. Akan dihadiri oleh Imam 1 Us Md Arif.
7. 24 - 27 Julai 09 Kursus Pengendalian Masjid, akan dihadiri oleh Nazir.
8. 5 Ogos 09 Kuliah Maghrib oleh Ust Badrul Amin.